Karangan Bahasa Nadi Bangsa

         
FAEDAH BERGOTONG ROYONG

  Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Guru Besar, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasih sekalian.Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk ‘’Faedah Bergotong Royong’’.
Hadirin Sekalian,
         konsep gotong-royong membawa maksud mengerjakan atau mengusahakan sesuatu secara bersama-sama. Berdasarkan makna ini, sebarang aktiviti kerja yang dilaksanakan secara bersama-sama bolehlah dianggap sebagai bergotong-royong. Amalan bergotong-royong memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah dan menjimatkan kos serta meriah. Sebagai contoh, majlis perkahwinan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan jika semua ahli masyarakat bekerjasama melaksanakannya selain menjimatkan kos untuk mengupah orang datang memasak. Ringkasnya, sikap mementingkan diri dapat dihindarkan menerusi amalan yang murni ini.
         Di kampung-kampung, amalan ini masih lagi boleh dilihat dan berlaku sehingga hari ini. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi mengeratkan perpaduan sesama ahli masyarakat setempat kerana berlakunya interaksi ketika amaln bergotong-royong ini dilakukan. Oleh itu, amalan ini merupakan satu tradisi mulia yang perlu dikekalkan. Kita sebagai rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu mengekalkan amalan murni ini supaya satu masyarakat yang bersatu-padu mampu dihasilkan dengan mudah. Perpaduan yang selama ini wujud banyak bergantung kepada kekerapan aktiviti bergotong-royong.Akhir sekali,saya mengundurkan diri dahulu.

Sekian Terima Kasih,

by : ahmad_sihrul@gmail.com



Syarahan : Pentingnya Anak-anak Menghormati Ibu Bapa

SOALAN : Kamu akan menyertai pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang diberikan ialah "Pentingnya anak-anak menghormati ibu bapa".
Tulis syarahan itu selengkapnya.

         Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Guru Besar, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasih sekalian.Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk "Pentingnya anak-anak menghormati ibu bapa".

          Hadirin sekalian,

          Ibu bapa memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Merekalah orang yang banyak berjasa kepada kita. Mereka mencurahkan kasih sayang sejak kita di dalam kandungan lagi. Oleh itu, menghormati mereka dengan sepenuh hati merupakan salah satu cara kita membalas jasa-jasa mereka.

         Anak-anak perlu sedar bahawa ibu bapa banyak berkorban wang ringgit untuk menyara dan memenuhi keperluan kita. Namun, mereka sekali-kali tidak pernah merungut tentang kos untuk membesarkan kita selama ini. Betapa zalimnya jika kita tidak menghargai jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka kepada kita.

         Hadirin sekalian,

         Ibu bapa telah memberikan pendidikan agama, akhlak dan sahsiah kepada kita. Mereka juga menjalankan tanggungjawab mereka dengan memberikan kita pendidikan yang sempurna.Balaslah jasa mereka, apatah lagi apabila kita sudah berjaya menggapai cita-cita.

         Selain itu, ibu bapa juga merupakan insan yang paling rapat dengan kita. Sekiranya kita mempunyai masalah, mereka akan berusaha mencari jalan penyelesaiannya.Oleh itu, sayangilah mereka kerana ibu bapa tiada galang gantinya di dunia ini.

        Oleh yang demikian, kita perlulah sentiasa menghormati ibu bapa. Sebagai anak, kita perlu mencari keberkatan di dunia dan akhirat. Semuanya dapat diperoleh apabila kita mendapat restu daripada ibu bapa kita. Marilah kita bersama-sama menghormati ibu bapa kita.

       Sekian, terima kasih.


by :cikgunik@gmail.com



LAPORAN : Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah

Soalan : Sekolah kamu telah mengadakan Hari Anugerah Kecemerlanmgan Sekolah. Sebagai Setiausaha, kamu diminta menulis laporan hari anugerah tersebut.
Tulis laporan itu selengkapnya.

                                      Laporan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah

          Pada hari Sabtu, 15 Oktober 2012, Sekolah Kebangsaan Bukit Tambun telah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah. Majlis itu bermula seawal pukul 8.30 pagi. Ibu bapa turut hadir untuk memeriahkan majlis yang dilangsungkan di dewan sekolah.

         Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga kokurikulum. Penganugerahan ini diharapkan dapat memberi motivasi kepada murid-murid supaya terus cemerlang.
         Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Zool Azhari. Kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi PIBG serta ucapan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Tambun.Tepat pukul 10.00 pagi, upacara perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran Daerah, Tuan Haji Ghazali. Dalam ucapan tersebut, beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap pendidikan anak-anak.
         Majlis ini telah diserikan lagi dengan persembahan murid-murid. Antara persembahan yang menarik ialah persembahan Boria oleh murid tahun 6, persembahan tarian zapin oleh murid tahun 5 dan persembahan deklamasi sajak oleh adik Muhamad Nizam daripada kelas 4 Cemerlang.Para tetamu terhibur dengan persembahan yang dipersembahkan.
         Acara kemuncak ialah penyampaian hadiah kepada murid-murid yang cemerlang dalam akademik berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun. Murid-murid yang cemerlang serta aktif dalam bidang kokurikulum turut diberikan anugerah.
         Majlis ini berlangsung dengan lancar dan meriah sekali. Para tetamu dihidangkan dengan juadah sejurus selesainya majlis itu. Diharapkan agar majlis seperti ini akan menjadi pendorong kepada murid-murid agar lebih cemerlang pada masa akan datang.

Disediakan oleh ,                                                                                                        20 OKTOBER 2012

.............................
(ALI BIN AHMAD)
Setiausaha,
Hari Anugerah Kecemerlang
Sekolah Kebangsaan Bukit Tambun


by:sifupakjeng@gmail.com



KARANGAN UPSR (UCAPAN) : Ucapan Ketua Pengawas

SOALAN: Kamu baru sahaja dilantik sebagai ketua pengawas. Dalam majlis pelantikan pengawas, kamu telah diminta menyampikan ucapan. Sediakan teks ucapan itu selengkapnya.

Ucapan Ketua Pengawas yang baru dilantik.

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, guru besar, guru-guru, dan rakan seperjuangan. Hari ini ialah pelantikan pengawas. Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pengawas yang dipilih oleh pihak sekolah.

Guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati,
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan.Saya amat terharu dengan pelantikan sebagai ketua pengawas sekolah. Saya akan memikul tenggungjawab ini mulai hari ini.

Sebagai ketua pengawas, saya akan menjalankan tugas dengan sebaik-baik mungkin. Setiap arahan pihak sekolah dan guru disiplin tidak akan saya pandang ringan. Hal ini penting demi meningkatkan tahap disiplin sekolah.

Oleh hal yang demikian, saya memohon kerjasama daripada semua pihak dalam menjadikan sekolah kita lebih selamat dan ceria. Setiap pelajar diminta melaporkan masalah disiplin pelajar kepada pengawas. Hal ini penting agar pelaksanaan denda dapat dijalankan oleh pihak pentadbiran dengan tujuan untuk memberi pengajaran dan pendidikan.

Sebagai ketua pengawas dan pengawas yang baru dilantik, saya dan rakan-rakan pengawas masih belajar. Saya berharap pihak sekolah akan menegur kami jika melakukan kesalahan. Dengan ini, saya akan mengambil iktibar daripadanya untuk memperkasakan lembaga pengawas sekolah.

Hadirin yang saya hormati,
Saya berharap sekolah kita akan terus mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Dengan mendisiplinkan diri, kita dapat berjaya dalam setiap bidang yang diceburi. Saya ingin menyampaikan sebuah pantun sebagai penghias bicara hari ini.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Kami pengawas baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Sekian, terima kasih.


by: aizamherohey@gmail.com



SOALAN :: Kamu dan rakan-rakan kamu sedang menyiapkan tugasan di Bilik Kemahiran Hidup. Tiba-tiba salah seorang daripada rakan kamu tercedera kerana terkena benda tajam. Ceritakan tindakan-tindakan yang kamu lakukan.
  






  Pada suatu hari, aku dan rakan-rakan sedang mengikuti kelas Kemahiran Hidup. Tiba-tiba seorang rakanku tercedera akibat terkena pahat. Pada waktu itu, Cikgu Ali iaitu guru Kemahiran Hidup kami pergi ke tandas.
     Justeru, aku terus ke bilik guru untuk memberitahu guru tentang kejadian itu. Aku turut mendapatkan peti pertolongan cemas yang terletak di situ. Kami bergegas ke bilik Kemahiran Hidup.
     Pada mulanya aku menyapu ubat antiseptik untuk membunuh kuman yang terdapat pada luka tersebut. Kemudian, aku membalut luka tersebut mengikut cara yang aku pelajari semasa aku menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah pada tahun lalu.
     Selepas itu, aku dan guruku memapah rakanku ke bilik rehat dan menelefon kedua-dua ibu bapa rakanku untuk memaklumkan mereka tentang peristiwa tersebut. Kemudian, kami membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.
     Beberapa minggu kemudian, luka rakanku semakin pulih. Dia berterima kasih atas pertolongan yang aku berikan semasa dia tercedera di Bilik Kemahiran Hidup tempoh hari. Aku bersyukur kerana luka kawanku tidak serius dan sudah semakin pulih.
     Dia berjanji akan mematuhi segala peraturan semasa berada di Bilik kemahiran Hidup dan berhati-hati ketika menggunakan benda-benda yang tajam semasa pengajaran dan pembelajaran.


by:sy23gmail@gmail.com

No comments:

Post a Comment